Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Kilanas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. - Majlis Bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil telah diadakan di Kubah Makam Diraja hari ini melibatkan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM), Majlis Perundingan Kampung (MPK), serta ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid di bawah Mukim Kilanas.
Majlis tersebut dianjurkan oleh MPM Kilanas dengan kerjasama enam Jawatankuasa Takmir Masjid di bawah Mukim Kilanas sebagai salah satu usaha memupuk amalan keagamaan serta memperkukuhkan silaturahim dalam kalangan masyarakat mukim berkenaan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Turut hadir Penghulu Mukim Kilanas, Awang Ahmad Hussaini bin Haji Mohsin selaku Pengerusi Majlis, ketua-ketua kampung di bawah Mukim Kilanas, wakil-wakil MPM Kilanas, MPK Kilanas, Kampung Tasek Meradun dan Kampung Bunut, Kampung Kilanas dan Kampung Jangsak, Kampung Bunut Perpindahan, Kampung Tanjong Bunut, Kampung Madewa dan Kampung Telanai serta Kampung Bengkurong.
Selain itu, majlis turut disertai oleh Kumpulan Purih Kampung Bengkurong, Kampung Sinarubai dan Kampung Burong Lepas serta ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Masjid Kampung Kilanas, Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjong Bunut, Masjid Jubli Perak Kampung Jangsak, Masjid Kampung Bunut dan Masjid Kampung Bengkurong.
Majlis dimulakan dengan kehadiran ahli-ahli jawatankuasa, diikuti kehadiran ahli-ahli MPM, MPK dan jemputan khas serta ketibaan para jemputan kehormat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghormatan dan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar para Al-Marhum dan Al-Marhumah daripada kalangan kerabat diraja dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup.